Wednesday, October 27, 2010

Kehilangan

Sejak 1-2 minggu lepas, saya tidak ambil tahu hal-hal yang berlaku di luar sana. Baru hari ini saya terbaca laporan tsunami yang melanda Sumatra pada Isnin lepas. Mengikut laporan media hari ini, 112 orang telah meninggal dunia, 502 orang lagi hilang.

Saya teringat klip berita antarabangsa mengenai tsunami pada tahun 2004. Seorang ibu menangis teresak-esak di pusat perlindungan kerana kehilangan anak-anak dan suami. Hanya tinggal dia sebatang kara. Tidak jauh dari tempat dia duduk, seorang budak, mungkin 7 atau 8 tahun, hanya duduk termanggu. Termenung. Budak lelaki itu kehilangan orang tua. Sebatang kara. Hanya memikirkan kesedihan yang mereka alami itu boleh menyebabkan jiwa saya menangis, apatah lagi mereka yang sendiri mengalaminya.

Suatu hari di rumah sewa saya di Kuatan, ketika itu cuti semester, saya mendapat panggilan telefon dari J, yang ketika itu berada di KK. Sambil menangis dia berkata "JZ, bapa aku sudah meninggal". Ya Allah, betapa sedihnya saya mendengar. Air mata saya bercucuran mendengar J menangis.

Pada masa ini, saya rasa seperti kehilangan orang yang saya sayang. Orang itu masih ada, cuma bukan lagi dia yang saya kenal. Dia bukan lagi hak ekslusif kami sekeluarga. Dia bukan lagi orang yang boleh kami bergantung harap. Dia ada kehidupan dia sendiri di luar sana.

Terima kasih orang yang saya sayang. Saya sudah kehilangan.

No comments:

Post a Comment